Pembangkang Hilang Arah Tanpa ANWAR


KOTA BAHARU, 10 Feb (Bernama) -- Hukuman penjara lima tahun terhadap Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal menyaksikan pakatan pembangkang itu kehilangan 'jurumudi' untuk mengemudi haluan selepas ini.

Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (Mapan) Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Muhamad Ali Embi berkata pakatan pembangkang perlu berusaha mencari seorang tokoh dalam kalangan mereka yang boleh menjadi simbol titik penyatuan ketika pakatan itu dilihat kian rapuh selepas krisis antara PAS dan DAP berhubung isu hudud dan pilihan raya pihak berkuasa tempatan.

"Presiden PKR Datin Seri Wan Azizah bukanlah lagi wadah untuk mengambil peranan Anwar sebagai penyatu kerana PAS tentu akan menolaknya selepas Datuk Seri Abdul Hadi Awang (Presiden PAS) sendiri sebelum ini telah menolak dan mengkritik keras Wan Azizah dalam isu menteri besar Selangor.

"Apatah lagi faktor usia beliau (Wan Azizah) yang semakin lanjut dan masyarakat sudah jemu dengan isu sama. Ini terbukti daripada kehadiran yang berkurang di kalangan penyokong PKR di perkarangan mahkamah hari ini," katanya ketika dihubungi Bernama pada Selasa.

Mahkamah Persekutuan pada Selasa menolak rayuan Anwar untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara lima tahun yang diputuskan Mahkamah Rayuan pada 7 Mac tahun lepas terhadap pertuduhan meliwat Mohd Saiful Bukhari Azlan, yang ketika itu berusia 23 tahun, di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara di Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, di sini antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria, yang mengetuai lima anggota panel hakim, menyampaikan penghakiman itu dan mengekalkan hukuman penjara lima tahun yang dikenakan oleh Mahkamah Rayuan.

Selain itu, mengikut Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan bahawa seorang anggota Parlimen akan lucut kelayakan sekiranya dijatuhi hukuman penjara lebih setahun atau didenda lebih RM2,000.

Muhamad Ali turut menjangkakan pakatan pembangkang akan mengalami perpecahan selepas ketiadaan Anwar yang selama ini dilihat mengemudi dan menjadi jambatan utama menyatukan PAS dan DAP.

Sementara itu, Timbalan Menteri Besar Kelantan yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS I Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah ketika dihubungi Bernama enggan mengulas berhubung hukuman penjara yang dikenakan ke atas Anwar.

"Saya tak mahu komen.. awak tanyalah orang yang lebih 'tinggi' (jawatan lebih tinggi) lagi," katanya di sini, pada Selasa.

-- BERNAMA

Like This Post? Please share!

  • Share to Facebook
  • Share to Twitter
  • Share to Google+
  • Share to Stumble Upon
  • Share to Evernote
  • Share to Blogger
  • Share to Email
  • Share to Yahoo Messenger
  • More...

No comments :

Leave a Reply

Scroll to top