Kemana Arah Tuju Pakatan Selepas INI?


KUALA LUMPUR- Pertembungan antara PAS dan DAP yang mempertahankan perjuangan masing-masing mendominasi politik pakatan pembangkang, memaksa Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim bertindak sebagai orang tengah bagi menyelesaikan konflik itu.

Mesyuarat majlis pimpinan tertinggi pakatan selama lebih sejam, yang diadakan di ibu pejabat PAS di sini pada Ahad, gagal merungkai permasalahan pokok yang dihadapi dalam kerjasama politik PAS dan DAP.

Penganalisis politik melihat kesepakatan, yang dipamerkan melalui keputusan untuk mengadakan mesyuarat khas dalam masa terdekat bagi membincangkan isu tertunggak itu - hukum hudud dan pilihan raya pihak Berkuasa Tempatan -, hanya bersifat interim.

Mereka berpendapat toleransi untuk kedua-dua parti menerima ideologi perjuangan masing-masing kedua-dua parti semakin hilang, dan pemimpin masing-masing sukar untuk bertentang mata.



DASAR BERSAMA GAGAL IKAT TIGA PARTI

Pada 2009, ketiga-tiga parti PAS-DAP-PKR membentuk gabungan pakatan yang longgar itu, mengumumkan dasar bersama yang antara lain menggariskan empat elemen utama iaitu demokrasi telus dan tulen; memacu ekonomi berprestasi tinggi, mampan dan adil; keadilan sosial dan pembangunan insan; serta hubungan persekutuan-negeri dan dasar luar negara.

Dasar bersama yang dibentuk turut menekankan aspek untuk menangani isu-isu agama yang selama ini menimbulkan pergeseran antara parti Islam PAS dan parti sekular DAP; selain berjanji untuk mewujudkan satu mekanisme komprehensif untuk menangani kes-kes di mana berlaku bertindihan antara undang-undang sivil dan syariah.

Persoalannya, selama enam tahun bekerjasama, kenapa dasar bersama gagal mengikat ketiga-tiga parti untuk sepakat dalam apa jua hal? Di manakah silapnya?

Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Ahmad Atory Hussain berkata soal prinsip dan ideologi parti merupakan halangan terbesar bagi ketiga-tiga parti itu untuk mematuhi dasar bersama yang dipersetujui sebelum ini.

Katanya berbanding DAP dan PKR yang kurang pergeseran kerana mempunyai banyak prinsip dan ideologi serupa, PAS adalah parti yang dilihat sering menjadi 'mangsa belasahan' kepada kedua-dua rakan sekutunya kerana berbeza ideologi dan prinsip.

"Saya melihat sejak 2008 sehingga sekarang, ketiga-tiga parti hanya sepakat dalam soal pilihan raya sahaja iaitu dalam konteks penentuan calon. Walaupun pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), ada juga berlaku pertindihan calon di beberapa kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), hampir 98 peratus (kerusi yang ditandingi) mereka meletakkan calon tunggal," katanya.

Ahmad Atory berkata berdasarkan pemerhatiannya, ketiga-tiga parti banyak tidak bersependapat sama ada dalam isu nasional ataupun tempatan.

"Contohnya isu Menteri Besar Selangor, PAS sokong Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim manakala DAP dan PKR sokong Mohamed Azmin Ali. Ini adalah kerapuhan kesepakatan yang dipamerkan Pakatan Rakyat," katanya kepada Bernama.

Pensyarah kanan Sains Politik Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dungun, Terengganu Che Hamdan Che Mohd Razali pula berpandangan cita-cita besar untuk menguasai Putrajaya pada PRU13 menyaksikan bagaimana 'Pakatan Rakyat' dibentuk oleh ketiga-tiga parti itu, ekoran kejayaan menafikan majoriti dua pertiga Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya sebelumnya.

"Oleh itu, satu pakatan dibentuk sedangkan pengalaman dan sejarah PAS dan DAP apabila duduk bersama sentiasa menimbulkan konflik seperti yang berlaku kepada Barisan Alternatif (BA) manakala kehadiran PKR memperkukuh kekuatan pembangkang berdasarkan sokongan yang diberikan kepada Anwar dan ketidakpuasan hati pengundi terhadap BN.

"Melihat kepada senario ini, dasar bersama yang dibentuk hanya melibatkan perkara yang menjadi persetujuan bersama tetapi tidak kepada isu-isu dan perkara teras bagi setiap parti. Maka tidak hairanlah, isu yang melibatkan pilihan raya PBT dan hukum hudud menelanjangkan perbezaan ketara ketiga-tiga parti," katanya.



TIDAK MAMPU SELESAI KRISIS

Sejauh mana isu DAP dan PAS mampu dicerna demi solidariti sebuah pakatan?

Mengulas persoalan itu, Che Hamdan berkata kemampuan kedua-dua parti itu untuk menyelesaikan konflik sangat sukar dan akan menjadi lebih rumit jika semakin banyak kuasa diperoleh mereka.

"Ini kerana sememangnya persaingan politik di antara kedua-duanya jelas berasaskan prinsip dan ideologi masing-masing yang berbeza. Apa guna mendapat kuasa sekiranya tidak mampu melaksanakan prinsip perjuangan parti," katanya.

Pandangan sama dizahirkan Ahmad Atory yang menyifatkan hubungan PAS, DAP dan PKR ibarat 'adik-beradik tiri'.

"Mereka tahu apa hubungan sesama mereka dan mereka tidak mampu bertoleransi sesama sendiri. Semalam, jika dilihat wajah pemimpin Pakatan Rakyat yang hadir ke mesyuarat, riak wajah memperlihatkan mereka tidak berapa selesa dan mesra," katanya.



GUGUR PRINSIP PERJUANGAN

Sebelum ini, PAS menggugurkan agenda Negara Islam dan menggantikannya kepada Negara Berkebajikan. Persoalannya adakah PAS sekali lagi akan menggugurkan perjuangan hukum hudud semata-mata semangat 'pakatan'?

Ahmad Atory yakin PAS kali ini tidak akan berkompromi terhadap desakan sekutunya untuk menggugurkan pelaksanaan hukum hudud yang diperjuangkan selama ini.

Beliau yakin DAP juga akan meneruskan perjuangan terhadap pilihan raya PBT sebagai protes terhadap PAS.

"Masing-masing tidak berani untuk menggugurkan prinsip masing-masing kerana takut penyokong akar umbi mereka akan marah. PAS akan tetap dengan hukum hudud manakala DAP dengan pilihan raya PBT," katanya.

Che Hamdan berkata daripada segi orientasi isu yang dibawa oleh kedua-dua parti, ia akan sentiasa menjadi perbincangan dan perdebatan yang hangat di kalangan mereka.

"Sebagai contoh hukum Hudud, ia memerlukan penelitian yang lebih terperinci kerana ia melibatkan isu perundangan dan begitu juga pilihan raya PBT. Namun daripada segi pelaksanaannya, saya lihat (kedua-dua isu itu) masih jauh lagi kerana perlu melalui beberapa proses," katanya.

-- BERNAMA

Like This Post? Please share!

  • Share to Facebook
  • Share to Twitter
  • Share to Google+
  • Share to Stumble Upon
  • Share to Evernote
  • Share to Blogger
  • Share to Email
  • Share to Yahoo Messenger
  • More...

No comments :

Leave a Reply

Scroll to top