TRIO PEMAIN IMPORT TERENGGANU 2015

 PRIHATIN dengan nasib mangsa banjir di negeri ini dan Kelantan mendorong Persatuan Bola Sepak Negeri  Terengganu (PBSNT) untuk menghulurkan sumbangan  dengan mengadakan satu perlawanan amal di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, 13 Januari depan.

Perlawanan melibatkan pasukan Terengganu dan Kelantan itu dijadualkan berlangsung pada jam 8.45 malam dan PBNST akan mengenakan tiket berharga RM15 bagi tempat duduk terbuka manakala RM20 berbumbung.

Timbalan Presidennya, Marzuki Sulong berkata, pihaknya telah sepakat bersama Persatuan Bola sepak Negeri Kelantan (Kafa) dalam mengadakan perlawanan amal berkenaan bagi membantu mangsa-mangsa banjir di kedua-dua negeri.

Menurutnya, hasil kutipan daripada perlawanan itu nanti akan dibahagikan kepada dua sebelum disalurkan kepada mereka yang terlibat dalam bencana banjir di Terengganu dan Kelantan.

“Matlamat utama kita adalah untuk meringankan beban mangsa yang teruk dilanda banjir terutamanya di kedua-dua negeri ini dan ia merupakan sedikit sumbangan sebagai tanda simpati kepada mereka.

“Selain itu, perlawanan amal ini juga mampu menjadi medan untuk kita mempersiapkan pasukan menjelang kempen Liga Malaysia bermula,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Sumbangan Bantuan Kepada Mangsa Banjir Kampung Bukit Gemuroh, Hulu Terengganu di sini, semalam.

Pada majlis itu, pasukan dan pegawai pasukan Terengganu telah menyalurkan sumbangan barangan keperluan dan wang tunai kepada 50 mangsa banjir di kawasan tersebut.

Dalam pada itu, Marzuki yang juga pengurus skuad Penyu berkata, pada perlawanan amal itu nanti, kedua-dua pasukan dijangka  menurunkan kesebelasan utama masing-masing termasuk pemain import.

“Selain tiket, kita juga akan menyediakan tabung bencana banjir ketika perlawanan berlangsung kepada mereka yang ingin menghulurkan bantuan.

“Kita harap peminat  dapat datang beramai-ramai bukan saja semata-mata untuk menyaksikan dua pasukan dari Pantai Timur ini beraksi, tetapi untuk turut serta dalam membantu meringankan beban mangsa banjir di kedua-dua negeri ini,” katanya.



Like This Post? Please share!

  • Share to Facebook
  • Share to Twitter
  • Share to Google+
  • Share to Stumble Upon
  • Share to Evernote
  • Share to Blogger
  • Share to Email
  • Share to Yahoo Messenger
  • More...

No comments :

Leave a Reply

Scroll to top